Sunday, January 12, 2014

Maybank SEMAKIN KE DEPAN...



Malayan Banking Bhd. (Maybank), menjadi bank pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran wang tanpa menggunakan kad di mesin-mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Menurut kenyataan oleh bank tersebut, perkhidmatan itu yang bermula hari ini membolehkan pelanggan-pelanggan Maybank yang mempunyai akaun perbankan dalam talian untuk menghantar wang kepada sesiapa sahaja dalam negara yang memiliki telefon mudah alih.


Penerima boleh mengeluarkan tunai serta merta di mana-mana ATM Maybank tanpa perlu memiliki kad ATM.
Ketua Kumpulan Perkidmatan Kewangan Komuniti dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapura, Datuk Lim Hong Tat berkata, perkhidmatan itu turut memberi ruang bagi pengunaan saluran perbankan Maybank kepada masyarakat tanpa perlu memiliki akaun dengan Maybank.


Bagi menggunakan perkhidmatan itu, pelanggan Maybank (pemberi) yang mahu menghantar tunai boleh memulakan transaksi menerusi laman web Maybank2u.


Pemberi perlu menaip nombor telefon mudah alih penerima yang akan menerima nombor pengenalan transaksi (ID-1) menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Maybank.
Pada masa sama, pemberi akan menerima ID transaksi yang berbeza (ID-2) daripada Maybank menerusi SMS.
Pemberi kemudiannya akan menghantar nombor pengenalan ID-2 kepada penerima. Penerima akan menggunakan kedua-dua nombor yang diperoleh untuk mengeluarkan wang tunai di ATM dengan hanya menekan butang di paparan sentuh dan mengikut arahan yang disediakan.
Hong Tat berkata lagi, perkhidmatan itu disediakan dengan langkah keselamatan untuk melindungi penghantar dan penerima.


"Dua nombor pengesahan diperlukan untuk memastikan wang dapat dikeluarkan dan nombor pengenalan ini sah untuk tempoh 24 jam," katanya dalam kenyataan itu.
Tambahnya, Maybank menganggarkan sejumlah 20,000 transaksi tanpa kad akan dimanfaatkan setiap bulan dalam tahun pertama pengenalannya.


Bayaran minimum RM1 akan diperkenalkan kepada penghantar setiap kali mereka memulakan proses perkhidmatan itu. Bagaimanapun bayaran tidak akan dikenakan dalam tempoh promosi sehingga 28 Februari 2014.


Bermula 7 Januari, Maybank menawarkan ganjaran tunai RM500 setiap seorang kepada tiga orang pemenang bertuah setiap hari yang berjaya melaksanakan transaksi pengeluaran tanpa kad ini. Tawaran ini akan berlangsung selama 30 hari, tertakluk kepada terma dan syarat.


http://www.utusan.com.my/