Sunday, July 1, 2012

YouTube buat perubahan pada sistem komen


YouTube buat perubahan pada sistem komen

Laman web perkongsian video, YouTube akan melakukan perubahan dalam sistem komennya di laman web tersebut bagi membendung pihak tidak bertanggungjawab memberikan kata-kata kasar, berniat jahat dan tidak bernama.

Ketua Bahagian Produk syarikat itu, Dror Shimshowitz mendedahkan perubahan itu pada persidangan pereka tahunan anjuran Google Inc. baru-baru ini.

Beliau berkata, laman web itu sedang membangunkan pendekatan baru bagi menghentikan perbuatan penyalahgunaan tersebut.

Shimshowitz dan Google enggan mengulas lanjut mengenai pendekatan itu.

Bagaimanapun, banyak pihak meramalkan ia akan menamatkan komen yang dianggap mengarut dan tidak henti-henti yang diposkan di bawah saluran YouTube.

Laman web mengenai teknologi, Wired melaporkan semasa sesi soal jawab pada persidangan itu, Shimshowitz berkata, mereka sedang membuat perubahan dalam sistem ulasan dan berharap perisian terbaru akan dapat dilaksanakan dalam beberapa bulan ini.

Seorang jurucakap Google berkata, pihaknya sedang menaik taraf semua bahagian laman web YouTube termasuk ruangan komen.

Laman web, Buzzfeed sebelum ini menyifatkan mereka yang menghantar kata-kata di ruangan komen YouTube 'paling teruk di Internet'. - AGENSI