Saturday, July 24, 2010

Komputer murah?




Komputer murah

Kapil Sibal mempamerkan prototaip komputer tablet skrin sentuh di New Delhi, kelmarin. Komputer itu yang akan dipasarkan tahun depan bakal menjadi komputer termurah di dunia. – AFP

MUMBAI 23 Julai – Ia kelihatan seperti iPad tetapi dijual pada harga 14 kali lebih murah berbanding produk keluaran Apple tersebut.

India hari ini mendedahkan prototaip komputer tablet skrin sentuh berharga AS$35 (RM112) yang disasarkan untuk golongan pelajar dan diharap dapat dipasarkan pada tahun depan.

Jika kerajaan dapat mencari pengeluar, komputer dengan sistem operasi Linux itu merupakan siri terbaru dalam inovasi ‘termurah di dunia’ dalam pasaran India.

India setakat ini telah mengeluarkan kereta termurah, Tato Nano berharga 100,000 rupee (RM6,833), pembersih air termurah serendah 749 rupee (RM51) dan pembedahan jantung termurah sebanyak AS$2,000 (RM6,413).

Tablet itu mempunyai fungsi memproses perkataan, pelayaran Internet dan sidang video. Ia juga mempunyai pilihan kuasa solar yang penting di kawasan pedalaman India kerana masalah bekalan elektrik, selain beberapa tambahan lain yang menambahkan lagi kosnya.

“Ini adalah jawapan kami kepada komputer bernilai AS$100 (RM321) keluaran Massachusetts Institute of Technology (MIT),” kata Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Kapil Sibal kepada majalah Economic Times semasa mendedahkan gajet berkenaan semalam.

Pada 2005, Nicholas Negroponte yang merupakan pengasas bersama Makmal Media MIT mengumumkan komputer riba bernilai AS$100 (RM321) untuk kanak-kanak di negara membangun, namun India menyifatkannya terlalu mahal dan memulakan usaha mencipta versi yang lebih murah.

Komputer riba Negroponte akhirnya dijual pada harga AS$200 (RM642), namun pada Mei lalu pertubuhan bukan berasaskan keuntungan miliknya, One Laptop Per Child, mengumumkan rancangan untuk melancarkan komputer tablet asas berharga AS$99 (RM317).

Dia berharap kos tablet ini diturunkan lagi kepada AS$10 (RM32). – AP

sumber : Utusan